"Dan kami jadikan padanya di bumi itu kebun-kebun Kurma dan Anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, agar mereka dapat makan dari buahnya dan dari hasil tangan-tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur." Surah Yasin ayat 34-35
Sunday, September 11, 2011
Para Wali Allah pun Cemburu kerana ia Lumrah Cinta...
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya kecemburuan itu ada yang disukai oleh Allah dan ada yang dibenci oleh-Nya. Adapun kecemburuan yang disukai adalah kecemburuan pada hal-hal yang pasti, sedangkan yang dibenci oleh-Nya adalah kecemburuan pada hal-hal yang tidak pasti.”
(Riwayat Ahmad, Nasa'i dan Ibnu Hibban)
Kecemburuan yang kena pada tempatnya akan bernilai ibadah dan dicintai Allah yakni cemburu terhadap sesuatu pelanggaran nilai syariah secara pasti dan jelas. Namun sebaliknya, kecemburuan akan bernilai maksiat dan dibenci Allah yang justeru akan merenggangkan tali cinta kasih suami-isteri, mengganggu ketenteraman keluarga dan mengsengsarakan hidup bersama jika hal itu cuma mengada-ada, su’udzhon (negative thinking), syak wasangka, curiga terhadap sesuatu yang belum jelas dan pasti, serta cemburu buta kerana rasa was-was yang tidak pada tempatnya itu sememangnya berasal dari syaitan sebagaimana tertulis dalam Surah An-Nas ayat 1-3.
Perasaan cinta menyebabkan wujud satu lagi perasaan yang dinamai cemburu sebagai ujian Allah s.w.t kepada manusia yang diberi nikmat cinta daripadanya sebagaimana senikmat-nikmat orang yang mempunyai harta yang banyak, diberi Allah perasaan takut jika hartanya diambil orang lain. Itulah cara Allah s.w.t mendidik hambanya agar kenikmatan dan kesenangan di dunia tidak kekal seperti mana kenikmatan di akhirat.
Kita perlu besederhana dalam cemburu agar sebuah ikatan kekeluargaan berjaya dibina. Jika perasaan cemburu itu hilang dan ketidakpedulian wujud pada pasangan hidup dengan alasan saling mempercayai satu sama lain meskipun realitinya berlakunya perkara mengundang fitnah yang akan membuka peluang bagi penodaan kehormatan dan kerosakan rumah tangga yang dibenci oleh Islam sepertimana orang kaya yang tidak mengambil endah akan hartanya menyebabkan hartanya mudah dikikis oleh orang lain dan akhirnya membuatkan dirinya muflis.
Disini saya letakkan beberapa kisah kecemburuan orang-orang yang tinggi darjatnya disisi Allah s.w.t. agar kita dapat mengambil pengajaran daripadanya :
Rasulullah Mencemburui Mariah al-Qibtiyyah
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Lahi'ah daripada Yazid bin Abi Habib daripada Abdul Rahman bin Syamasah al-Mahri daripada Abdullah bin Umar, ketika Mariah al-Qibtiyyah mengandungkan anak rasulullah, Ibrahim, seorang kerabat lelakinya dari mesir kerap menziarahinya. Suatu hari, Rasulullah menemui Mariah dan melihat kerabatnya ada bersamanya. Rasulullah berasa cemburu. Baginda keluar dengan rona wajah yang berubah. Di jalanan, Baginda bertemu dengan Umar. Umar perasan ada sesuatu yang rasulullah pendamkan. Umar lantas bertanya keadaan Baginda. Rasulullah menceritakan kecemburuannya terhadap kerabat Mariah.Umar lalu menghunus pedang lalu mencari lelaki itu. Lelaki itu segera menyingkap keadaan zakarnya yang sudah dipotong. Umar tidak jadi membunuhnya. Dia menemui Rasulullah. Rasulullah berkata: "Jibrail telah datang kepadaku dan membebaskan Mariah dari tuduhan yang terlintas pada diriku."
(Riwayat al-Bazzar)
Kecemburuan Aisyah binti Abu Bakar r.a terhadap Khadijah binti Khuwailid r.a.
Aku tak pernah cemburu terhadap wanita seperti kecemburuanku terhadap Khadijah. Kerana Rasulullah sering kali menyebut namanya. Suatu hari Beliau menyebut namanya, lalu aku berkata, “Apa yang engkau idamkan terhadap wanita tua yang merah kedua sudut mulutnya? Padahal Allah telah memberikan ganti yang lebih baik daripadanya kepadamu.” Lalu Baginda bersabda: “Demi Allah, Dia tidak memberikan ganti yang lebih baik daripadanya kepadaku.”
(Riwayat Bukhari)
Kecemburuan Hafsah binti Umar r.a Terhadap Mariah al-Qibtiyyah
Suatu hari, Hafsah meminta izin kepada Baginda untuk pergi ke rumah ayahnya iaitu Umar al-Khattab. Sementara waktu yang terluang menunggu di rumah. Lalunya Mariah dihadapan rumah tersebut dan singgah sebentar untuk menemui Rasulullah. Tidak lama kemudian Hafsah pulang dari rumah ayahnya. Alangkah terkejutnya Hafsah ketika ia melihat madunya, berada di rumahnya. Cemburunya datang dengan serta-merta. Ia tidak senang kalau melihat Mariah berada di rumahnya. Perasaan ini jelas kelihatan dari mimik wajahnya yang sedih. Mariah faham tentang itu, akhirnya ia keluar dari rumah Hafsah. Setelah Mariah Pergi, Hafsah pun berkata kepada Nabi “kenapa Mariah berada dalam rumahku, sedangkan aku tidak ada dirumah?”
Mengapa Hafsah berkata sedemikian, bukankah Mariah itu isteri Rasulullah juga. Kata-kata tersebut menunjukkan kecemburuannya. Ia tidak senang suaminya pada waktu gilirannya diambil oleh orang lain.
Cemburunya Aisyah binti Abu Bakar Terhadap Shafiyah binti Huyay
Ketika Rasulullah sampai di Madinah bersama Shafiyah yang sama-sama berhijrah dan yang beliau nikahi di perjalanan menuju Madinah, Aisyah berkata: “Aku menyamar dan keluar untuk melihatnya. Tetapi, Rasulullah mengetahui apa yang kulakukan dan beliau berjalan ke arahku. Maka aku pun bergegas meninggalkan beliau. Namun beliau mempercepat langkahnya hingga menyusulku. Kemudian beliau bertanya: “Bagaimana pendapatmu tentang dirinya.’ Aisyah menjawab dengan nada sinis, ‘ia adalah wanita Yahudi, puteri seorang Yahudi.”
(Riwayat Ibnu Majah).
Cemburu Aisyah binti Abu Bakar Terhadap Rasulullah
Dari Aisyah RA, ia berkata: ‘pernah suatu malam, Nabi saw ada bersamaku dan beliau pada saat itu mengira aku telah tertidur. Maka beliau keluar dan aku pun mengikuti jejak langkah beliau. Sungguh aku mengira bahawa beliau pergi untuk menemui isterinya yang lain, hingga beliau sampai pada suatu tempat pemakaman. Lalu beliau pun berbelok dan aku pun mengikutinya. Beliau mempercepat langkahnya dan aku pun mempercepat langkahku. Kemudian beliau bergegas kembali ke rumah dan aku pun berlari agar dapat mendahuluinya menuju rumah. Setelah beliau memasuki rumah, beliau bertanya mengapa nafasku terengah-engah seperti orang yang menderita asma sedang mendaki suatu bukit. Aku pun menceritakan kejadian yang sebenarnya kepada beliau, bahwa tadi aku mengikuti ke mana beliau pergi. Beliau pun bertanya, ‘apakah engkau mengira bahawa Allah dan Rasul-Nya akan menyakiti dirimu?’”
(Riwayat Muslim)
Umar Cemburukan Isterinya ke Masjid
Suatu hari, isterinya keluar untuk solat berjamaah di masjid. Daripada riak wajahnya, isterinya tahu Umar tidak suka dan sedang cemburu. Lalu isterinya berkata: "Jika kanda melarang, dinda takkan pergi." Umar diam sahaja kerana teringat pesanan Nabi s.a.w yang bermaksud: " Janganlah kalian melarang para wanita pergi ke masjid."
(Riwayat al-Bukhari, Ahmad dan Abu Daud)
Ibnu Umar Cemburu Mendengar Bicara Isterinya Dengan Lelaki Kerabatnya
Hammad bin Zaid daripada Ayyub daripada Ibnu Abi Mulaikah menyebut bahawa Ibnu Umar mendengar isterinya berbicara dengan seorang lelaki disebalik tembok. Antara mereka masih ada hubungan kekeluargaan, namun Ibnu Umar tidak mengetahuinya. Lalu dia mengumpulkan pelepah kurma dan memukulnya sehingga si isteri berteriak kesakitan.
Cemburu Mu'az bin Jabal Sewaktu Makan Epal
Al-Kharaiti menyebut daripada Mua'az bin Jabal bahawa dia makan epal bersama isterinya. Lalu masuklah hambanya menemuinya. Kemudian si isteri memberikan epal yang telah dimakan sebahagian kepada hamba itu. Mu'az berasa cemburu sehingga bertindak untuk memukul isterinya.
Kecemburuan Rasulullah Terhadap Umar
Rasulullah menceritakan: “Ketika aku tidur, aku bermimpi bahawa diriku berada di syurga. Tiba-tiba ada seorang wanita sedang berwudhu' di dekat sebuah istana surga. Aku bertanya, 'milik siapa istana itu?’ mereka mengatakan, ‘milik Umar’, lalu aku teringat pada kecemburuan Umar, segera saja aku pergi berlalu. Umar lantas menangis mendengar cerita beliau seraya berkata, ‘Apakah kepadamu aku akan cemburu wahai Rasulullah?’”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Kecemburuan Zubair bin Awwam
Kecemburuan Zubair dikenali melalui riwayat yang dikisahkan oleh isterinya, Asma binti Abu Bakar r.a. “Pada suatu hari aku dalam perjalanan pulang sambil memikul biji gandum di kepala. Lalu aku bertemu dengan Rasulullah (iparnya) yang tengah bersama seseorang dari kalangan Ansar. Beliau memanggilku dan mengatakan: ‘ikh ….Ikh…’(menyuruh untanya untuk menunduk) agar dapat memboncengku di belakangnya. Aku merasa malu berjalan bersama laki-laki dan teringat pada kecemburuan Zubair, sebab Zubair termasuk orang yang sangat pencemburu. Rasulullah saw mengerti bahawa aku merasa malu, lalu beliau pergi berlalu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Wallahua'lam....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment