Pages

Friday, October 28, 2011

Bibit Pertama Seruan Azan

  


   Setiap hari kita mendengar lima kali seruan azan daripada masjid tetapi adakah kita mengetahui tentang sejarahnya. Tahukah kamu dari mana asalnya perkataan yang diucapkan semasa azan dilaungkan?. Jika tidak, sama-samalah kita baca dan hayati sejarah seruan azan.

   Azan mula disyariatkan di Madinah tahun pertama hijrah. Asal-usul azan terkandung dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin Umar r.a. dengan katanya yang bermaksud:

   "Semasa sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkirakan waktu solat dan tidak ada seorang pun yang menyeru untuk solat. Pada suatu hari mereka berbincang tentang hal itu. Berkata sebahagian daripada sahabat: 'Ambillah naqush(loceng) seperti naqush orang Nasrani(Kristian).' Berkata sebahagian yang lain pula: '(ambillah) trompet seperti trompet orang Yahudi.'"

   Lalu berkata Umar: "Tidakkah kamu boleh melantik seorang lelaki untuk menyeru kepada sembahyang?" Bersabda Rasulullah s.a.w.: "Wahai Bilal, berdirilah dan serulah untuk solat."

   Hasil perbincangan tersebut terdapat beberapa cadangan seperti membunyikan loceng seperti yang dilakukan oleh orang Nasrani, meniup terompet seperti penganut agama Yahudi, mengibarkan bendera sebagai tanda masuk waktu solat atau menyalakan api diatas bukit di mana orang yang melihat api akan hadir ke masjid untuk solat berjemaah..

   Namun semua usul itu ditolak oleh Rasulullah s.a.w. Kemudian Umar al-Khattab mencadangkan supaya diteriakkan kuat-kuat, "Telah datang waktu solat." Cadangan Umar ini diterima oleh Baginda tetapi dengan sedikit modifikasi kepada "Assolatu jami'ah" yang bermaksud "Marilah solat berjemaah".

   Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abdullah bin Zaid r.a., beliau bermimpi berjumpa dengan seorang lelaki.


Abdullah: "Wahai hamba Allah, adakah kamu jual naqush itu?"

Pembawa loceng: "Apa yang engkau buat dengannya?"

Abdullah: "Dengan naqush itu, kami menyeru kepada solat."

Pembawa loceng: "Mahukah kamu aku tunjukkan yang lebih baik daripada itu?"

Abdullah: "Ya."

Pembawa loceng: "Kumandangkanlah 'Allahuakbar...(hingga akhir azan).'"

   Keesokannya, Abdullah bin Zaid menceritakan kepada Rasulullah s.a.w. mengenai mimpinya. Baginda bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya mimpi itu benar insya-Allah. Berdirilah engkau bersama Bilal dan ajarkan kepadanya apa yang engkau mimpikan itu. Hendaklah Bilal azan dengan apa yang diajarkan kepadanya kerana suaranya lebih bagus dan tinggi daripada engkau." Kemudian Abdullah bin Zaid berdiri bersama Bilal lalu mengajarkannya lafaz azan tersebut.

   Ketika Bilal hendak melaungkan azan, Umar bin al-Khattab berkata: "Demi yang telah mengutusmu dengan benar wahai Rasulullah, sesungguhnya aku bermimpi seperti mana yang dimimpikan olehnya (Abdullah bin Zaid)."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Segala puji bagi Allah."

   Walaupun azan disyariatkan hasil mimpi Abdullah bin Zaid yang kebetulan sama dengan mimpi Umar al-Khattab, azan bukanlah ciptaan atau cadangan manusia. Sebaliknya ia diperkuatkan lagi dengan wahyu.

Al-Bazzar berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya diatas langit yang ketujuh ketika berlakunya Israk Mikraj. Kemudian malaikat Jibril mendatanginya, lalu Baginda menjadi Imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s., Allah s.w.t. menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi."

   Akhir kalam, semoga dengan pembacaan sejarah azan ini dapat menyedarkan kita betapa tingginya darjat azan kerana di akhir zaman ini rata-rata umat Islam lansung tidak menghormati seruan azan ini malah menganggap azan itu sebagai bunyi cengkerik di tengah malam. Tidak malukah kita sebagai hamba Allah dapat menghormati lagu Negaraku dengan berdiri sebagai menghormatinya tetapi seruan azan langsung tidak dijawab dan dipedulikan walaupun seruan itu dikumandangkan di langit ketujuh. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment