Pages

Tuesday, August 2, 2011

Kenapa Sukar Nak Sebut "saya tak tahu..." ?


Assalamualaikum!

   Ni nak cerita sikit pengalaman ketika form 5 dulu, benda ni terjadi selepas aku menjadi imam terawih di masjid kawasan Kok Lanas. Lepas habis solat je makmum tanya : "Tak salah ke kalau baca Surah Al-Fatihah ketika imam juga baca Al-Fatihah ?"

   Fuh! terkial aku dengan soalan makmum tersebut, kali pertama kena tanya spontan soalan furu' macam tu.Memang menggelabah la aku masa tu tapi muka wat rilek je...
Tanpa jawapan yang sohih aku terus jawab
: "tak boleh la.. 'kalau aku jawab tak tahu. aku pun tak nak la makmum-makmum lain kata': "Apa la dia ni,soalan macam tu takleh nak jawab, tak payah jadi imam la".

   Hingga ke hari ini aku rasa bersalah kepada makmum tersebut, sepatutnya aku terus jawab: "tak tahu la mak cik, tanya orang lebih arif ye ".Tak perlu la aku meng'hipokrit'kan diri ini yang kurang ilmu. Lepas kejadian tu baru aku study betul-betul tentang pembacaan Al-Fatihah dalam solat.

   Rasa bersalah tu bukan kerana jawab soalan tu secara hipokrit dan ego je tapi kita perlu dahulukan dengan jawapan yang nyata,disusuli dengan anjuran supaya menumpukan prioriti semasa. Macam tu baru betul.lagipun soalan tu bukan payah sangat, banyak pendapat tentang pembacaan Al-Fatihah keatas makmum, aku juga tak sangka jawapan yang aku berikan kepada makcik tersebut ada didalam satu pendapat bahawa para makmum perlu diam ketika imam membaca ayat-ayat Al-Quran. Secara detailnya klik sini.

   Sekarang ni nak bagitahu ada juga dikalangan 'ustaz' sering mengelak dari soalan furu'. Ingin ditekankan di sini walaupun kita berpendirian serius menumpukan terhadap perkara usul, tidak bermakna terus berlepas diri dari menjawab soalan-soalan furu' yang ditanya oleh masyarakat.

   Sebenarnya kerana tidak tahu,mudah dijawab dengan kata-kata sedemikian "usahlah ditanya perkara furu'..." sebenarnya jawapan tersebut tidak menepati disiplin soal jawab dalam islam. Dahulukan dengan jawapan yang nyata,disusuli dengan anjuran supaya menumpukan prioriti semasa. Itu adalah disiplin berinteraksi dengan ilmu.

   Jangan disebabkan kita tidak mampu menjawabnya, terus dibalas dengan jawapan berbentuk sinis sedemikian. Hal ini akan menjauhkan kita dengan mad'u dan mengundang pertikaian mereka.

Imam al-Muhasibi menegaskan ;

"Janganlah malu apabila ditanya tentang perkara yang tidak diketahui agar mengaku: Saya tidak tahu".(1)

Imam al-Munawi menegaskan ;

"Jawapan 'saya tidak tahu' bukti betapa hebatnya kedudukan, betapa kuatnya pegangan agama, terzahir sifat taqwa terhadap Tuhannya, menyatakan kesucian hati, sempurna pengetahuan dan betapa tulus niatnya".(2)

   Pengakuan 'saya tidak tahu' bukannya merendahkan martabat seseorang, sebaliknya ia adalah sifat terpuji dan bukti memelihara amanah terhadap ilmu. Elakkan dari sifat apabila tidak tahu dibalas dengan jawapan berbentuk sinis seperti mana yang telah disebutkan dan yang lebih parah menjawab sesuka hati semata-mata ingin memelihara ego.
Diriwayatkan dari Ibnu Abdil Barr di dalam Jami' Bayan al-Ilmi wa Fadlih sesungguhnya ulama' berkata;

"Belajarlah untuk berkata saya tidak tahu, sesungguhnya jika engkau berkata sedemikian, orang pasti mengajar engkau sehingga engkau tahu. Sebaliknya jika engkau sentiasa mengaku dengan berkata saya tahu, nescaya mereka akan bertanya sehingga engkau tidak tahu".

Disebutkan juga nasihat ini oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi didalam kitab I'lam al-Muwaqqi'in.(3) Imam Malik turut berpesan;

"Tirai bagi orang berilmu adalah dengan berkata 'tidak tahu', kerana apabila dia terlupa, jawapan sedemikian pasti akan membenarkan soalan"(4).


Ibnu Abbas pernah bertanya kepada sahabat-sahabatnya :

"Adakah kalian semua mahu agar aku tunjukkan sesuatu ilmu yang besar?"

Mereka menjawab:

"Sudah tentu"

Ibnu Abbas berkata:

"Apabila seseorang ditanya akan perkara yang dia tidak tahu, maka dia berkata Allah S.W.T dan Rasulnya  yang lebih mengetahui"
(5).

   Kesimpulannya, seorang pengajar bertagngungjawab terhadap pelajarnya. Ilmu merupakan amanah besar yang diberikan oleh Allah S.W.T. Tanggungjawab kita apabila mengetahui sesuatu perkara agar menjawab dengan cermat. Namun bagi orang yang bertanya juga perlu memahami bahawa orang yang alim ilmunya tidak meliputi seluruh perkara. Orang yang alim tidak akan lari dari resam seorang manusia, ada yang dia ketahui dan ada yang tidak diketahuinya. Justeru, jangan mudah memperlekeh atau mempertikai seseorang yang menjawab dengan jawapan "SAYA TIDAK TAHU".


(1): Risalah al-Mustarsyidin, m.s 82
(2): Faidh al-Qadir, jilid 4, m.s 500, syarah athar
(3): m.s 83-84 (Di ambil  daripada ta'liq Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah)
(4): Imam al-Zahabi, Siar A'lam al-Nubala', jilid 3 m.s 3152
(5): Imam Suyuthi, Adab al-Fatya  m.s 85


3 comments: