Jika kita perhatikan, Banyak hadis-hadis dan juga ayat-ayat Al-Quran yang mengisyaratkan kemenangan Islam yang akan berlaku sebelum berakhirnya dunia ini. Sekalipun tidak diketahui bilakah secara tepatnya ia akan berlaku. Namun sejak akhir-akhir ini, banyak kejadian yang berlaku menunjukkan bahawa masa itu semakin hampir dan dekat. Tetapi yang pastinya sebelum berlakunya kiamat, pasti islam akan berada di takhta kuasa sekali lagi untuk menyebarkan keadilan keseluruh dunia. Di antara nas-nas yang mengisyaratkan perkara tersebut ialah :
1. Firman Allah S.W.T :
"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman diantara kamu dan yang mengerjakan amalan yang soleh bahawa dia(Allah) pasti akan menjadikan mereka berkuasa di atas muka bumi, sebagaimana
dia(Allah) telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan pasti dia(Allah) akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka"
(Surah An-nuur, ayat 55)
2. Sabda Rasulullah S.A.W :
"Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah Nabi Isa turun (ke bumi) menjadi seorang hakim yang bijaksana dan pemimpin yang adil, menghancurkan salib, membunuh khinzir, mewajibkan jizyah, harta melimpah-ruah hingga tiada seorang pun yang menerimanya".
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Banyak lagi hadis-hadis lain yang menceritakan berkenaan janji Allah S.W.T bahawa islam akan kembali tegak di akhir zaman nanti. Ini bukannya satu retorik atau angan-angan kosong, realitinya boleh dilihat pada hari ini di mana sahaja. Minat masyarakat dunia ini terhadap islam semakin meningkat terutamanya setelah berlakunya serangan 11 September 2001, iaitu satu dekad yang lampau.
Di sebalik label islam yang dikaitkan dengan keganasan, masyarakat Barat mula berjinak-jinak untuk mendalami islam yang sebenar. Antara respon pertamanya dapat dilihat pada akhbar Inggeris The Gurdian bertarikh 2 September 2002 melaporkan bahawa kebanyakan kedai menjual buku islam dan kursus perbandingan agama di universiti dikerumuni oleh orang baru yang non-Muslim untuk mempelajari prinsip-prinsip islam dan sejarah nabi-nabi terdahulu. Kadar penjualan Al-Quran terjemahan berbahasa Inggeris dalam masa 3 bulan setelah kejadian 11 September 2001 meningkat naik dengan mendadak. Manakala program-program dakwah mula disambut baik untuk memahami apa itu islam yang sebenar.
Kini, kebangkitan Islam makin timbul apabila terjadinya isu kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang semakin hebat berlaku, masyarakat dunia kini sudah sedar bahawa Islam bukanlah punca terjadinya kehancuran dunia sekarang ini malah Islam kini di fitnah untuk mengkaburi mata masyarakat dunia yang masih jahil. Di samping itu, kebangkitan rakyat islam di Timur Tengah menjatuhkan para pemimpin yang zalim menunjukkan bahawa Islam kini sudah menunjukkan langkah-langkah awal kemenangan Islam yang dijanji oleh Allah. Tidak kurang juga di Malaysia itu sendiri, tidak seperti dulu-dulu, majlis-majlis ilmu sekarang ini disambut dengan amat baik terutama dalam pengajian bersama Ustaz Azhar Idrus.
Hakikatnya, semakin kuat Islam ditekan, semakin ia meningkat naik. Semakin kuat diasak, semakin ia diterima masyarakat. Lihat sahajalah sunnah dakwah Rasulullah S.A.W di Mekah, apakah lagi tekanan yang tidak dikenakan terhadap baginda? Semuanya telah dilalui. Namun Allah S.W.T tetap mentakdirkan Islam tersebar ke seluruh dunia sehingga ke hari ini. Betapa hebatnya penyesalan yang akan dirasai oleh Abu Jahal dan Abu Lahab sekiranya mereka masih hidup dan menyaksikan kejayaan dakwah Rasulullah S.A.W hari ini.
Namun, kemenangan islam tidak hadir dengan mudah dan percuma. Ia bukannya hadir dengan kata-kata dan ketukan keyboard atau semudah menekan butang share dan like di Facebook sahaja. Ia datang dengan bayaran mahal dari pejuang-pejuangnya.
Andainya kemenangan itu semudah kata-kata, nescaya Islam ini akan dituruti oleh sebahagian besar manusia di dunia. Namun itulah dia sunnah Allah,kemenangan memerlukan kepada bayaran yang mahal. Bahkan Tuhan yang telah mentaklifkan perjuangan ini menyatakan :
"Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana(tidak begitu jauh), nescaya mereka(orang munafik) akan mengikutmu sedangkan tempat yang hendak dituju itu amat jauh bagi mereka."
Surah At-Taubah, ayat 42Justeru, perjuangan ini telah digazetkan oleh Allah S.W.T dengan rintangan-rintangan yang tersendiri. Ia tidak dijanjikan dengan hamparan permaidani merah kerana ia tegak di atas tulang-tulang para ulama' dan mujahid yang telah terlebih dahulu berkorban nyawa. Apa yang pasti, natijah akhirnya pasti akan memberikan kemenangan kepada Islam dan para pendokongnya.
Akhir kalam, apa yang berlaku di Mesir, Tunisia, Yaman dan selainnya hanyalah takbiratul ihram sahaja, ia hanya permulaan. InsyaAllah, sekarang ini rukuk dan sujud di seluruh Tanah Arab. Salamnya ?, insyaAllah di Baitul Maqdis nanti. Bertemu di sana nanti duhai saudara-saudaraku.
No comments:
Post a Comment